Awan putih berlangitkan sebiru warna, menambahkan keindahan alam semulajadi. Kecantikan alam yang tiada taranya menyaksikan pelbagai acara pementasan hidup yang beraneka gaya. Maha suci Allah yang menciptakan manusia yang berpasangan begitu juga makhluk Allah yang lain turut memenuhi pelusuk bumi.
Alhamdulillah, kita masih bernyawa menunaikan segala perintahnya, akur dengan ketentuan illahi walaupun penuh dengan pancaroba. Seringkali hidup dicabar dan diuji namun terus berdiri gagah dengan pertolongan Allah SWT.
Mengharungi hari demi hari membuat kita tidak terlepas dari melakukan dosa. Dosa kecil mahupun besar terpendam dilubuk hati dan adakalanya membentuk pelbagai rasa. Pernahkah kita memohon keampunan dariNya? Saya yakin kita sebagai hamba diberikan naluri untuk mengetahui akan dosa-dosa yang dilakukan walaupun tanpa sedar.
Adakah kita insaf?
Sekiranya keinsafan masih menebal pada diri, sebenarnya kita masih lagi menyirami iman kita dengan baja keampunan dari Allah SWT. Jika tidak, jangan dibiarkan dosa-dosa itu menjadi sebati dan kekal selamanya pada hati nurani kerana dari situlah ‘air muka’ kita akan terbentuk dengan perkara-perkara yang sebenarnya datang dari hati kita sendiri.
Oleh itu, jagalah hati dan kasihanilah kerana dia juga makhluk Allah seperti kita. Tugasnya sangat berat untuk mengawal manusia dari melakukan dosa. Kalau hati kita baik, baiklah kita sebagai khalifah Allah dimuka bumi. Jika tidak, hati kita akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin dijangka.
Tahap iman dalam diri.
Disaat dan ketika ini, ada dikalangan kita mengatakan bahawa apabila seseorang itu dipenuhi dengan iman dan taqwa pastinya berpegang teguh dengan agamanya. Mana mungkin manusia yang bersifat baharu ini tidak akan diuji walaupun hidupnya diselubungi dengan kemewahan melimpah ruah.
Ada juga menyatakan yang menutup aurat itu hidupnya akan menjadi kebal dengan nafsu kerana badannya dilitupi dan tidak akan mudah melakukan dosa berbanding mereka yang tidak berhijab atau tidak menutup aurat.
Dari pandangan saya, bukan mudah untuk memelihara iman, kerana iman kita ini ibarat daun-daun yang berguguran, apabila ia dipukul angin ia akan berterbangan mengikut arus angin. Sesungguhnya, iman itu tidak bersifat kekal dan sentiasa berubah-ubah.
Ada suatu masa kita rasakan hidup ini sangat dekat dengan Allah SWT dan adakalanya tidak. Itulah manusia yang Allah ciptakan, hatinya sentiasa bermain-main dengan perasaan. Kadangkala dengan iman kita terasa indah dan lama kelamaan iman itu semakin hilang dan menjadikan kita manusia yang alpa kepada Allah SWT. Ini kerana keteguhan kita terhadap iman masih diawang-awangan dan menganggap tiada kepentingan dalam mengekalkan iman di dalam diri.
Setiap saat diuji.
Tidak akan senang manusia itu kalau hidup tidak pernah diuji. Sekiranya sentiasa aman dan bahagia kemungkinan kitaran kehidupan kita ini akan kehilangan sesuatu yang dikatakan “ujian dan dugaan”.
Ya, saat kita diuji adakah kita sedar akan ujian diberikan? Manusia sentiasa leka dengan kesibukan dunia sehingga lupa kepentingan akhirat yang perlu diutamakan. Apa yang mereka ingat adalah nikmat dunia. Sehingga manusia menjadikan dunia itu sebagai tongkat untuk berdiri sedangkan yang menjadikan mereka berdiri dengan gagah itu adalah dari Allah SWT. Biarlah diri kita diuji, Allah mahu membersihkan kita dari segala kekotoran yang menyelubungi dari segenap sudut pada anggota badan kita iaitu hati.
Serah diri padaNya.
Saat menadah tangan pohonlah keampunan kepada Allah, berdoalah dengan penuh pengharapan agar kita diampunkan dari segala dosa-dosa yang lalu. Biarlah air mata sepi menjadi saksi tanda kita takut kepadaNya. Beristighfarlah, kerana banyak hikmah terkandung disebalik makna-makna yang diucapkan.
Yakin dan percaya dengan kewujudan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Jangan lalai mahupun leka kerana kematian sentiasa menghampiri.
Beriman kepada Allah SWT adalah satu landasan yang merupakan penjuru disetiap kehidupan. Walaupun iman tidak boleh diwarisi tapi boleh menjadi benteng dalam menghadapi pelbagai keresahan hidup.
Berdoalah kerana dengan doa, Allah akan mendengar segala keluhan kita kerana tuhan tahu apabila kita melakukan dosa kita akan kembali mengadapNya. Perbaikilah diri dengan kesalahan serta kesilapan yang kita lakukan. Perelokkan nawaitu kita untuk kembali bertaubat dan bersujud padaNya.
Sucikan hati dan rawatlah jiwa dengan ayat-ayat Allah iaitu al-Quran yang merupakan surat cinta yang diutuskan kepada hamba-hambanya.
Cinta Allah akan kekal dihati, kewujudanNya dapat dirasai, hadirNya bagaikan merentap sanubari.
“Ya Allah, aku bersedia menerima segala ujian dan dugaan-MU”.
iluislam
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Catat Ulasan