
Ikan patin adalah salah satu jenis ikan  sungai atau ikan air tawar. Ikan jenis ini memiliki bentuk yang unik.  Badannya panjang sedikit memipih, berwana putih perak dengan punggung  berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya kecil, memiliki  sesungut berjumlah 2-4 pasang yang berfungsi sebagai alat peraba. Ikan  patin termasuk ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih banyak mencari  makan pada waktu malam. Diceritakan keenakan memakan ikan patin jika  kena dengan menu masakan kelazatannya sehingga menjilat jari tetap walau  seenak mana atau senikmat mana ikan patin mengapa ramai Melayu Sarawak  tidak memakannya. Sudah tentu ada cerita legenda disebalik mengapa dan  kenapa masyarakat Melayu Sarawak mahupun Melayu di nusantara tidak  menjadikannya hidangan pembuka selera. Inilah paparan Borneo Oracle buat  kali ini iaitu Legenda Ikan Patin Dan Mengapa Ramai Masyarakat Melayu  Sarawak Tidak Memakannya.
Umum mengetahui bahawa kebanyakan masyarakat Melayu Sarawak leluhurnya  adalah daripada negara-negara Nusantara seperti Indonesia dan yang lebih  spesifik adalah leluhur yang berasal daripada Riau, Sumatera Barat.  Sebenarnya ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di  Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut  mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan  seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang  memancing. Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai  tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa  bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti  anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah. Selama  dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan  pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun  membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti  luhur. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop  telah melewati rumah orangtua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya  sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati  kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai  permaisuri hidupnya. Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke  rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima  pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya.  Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk  tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang  pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah  syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.
Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya  seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta  perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat  dan tetangga kedua mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana  perkahwinan tersebut. Para undangan turut gembira menyaksikan kedua  pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan.  Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda  yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan  saling menyayangi.
Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu  setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal  dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih  kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkannya sejak dari  kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar. Hingga  berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih.  Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya  yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan  Dayang Kumunah kepada “ayahnya”. Ia pun kembali bahagia hidup bersama  suami dan kelima-kelima anaknya.
Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana  semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah  ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya  di serambi rumah mereka. Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan  tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya,  kecuali Dayang Kumunah. Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop  meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya  tetapi suaminya terus mendesak. Akhirnya ia pun menuruti keinginan  suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di  mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah  sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari  belakang. Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang  Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air. Pada  masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah  memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan  dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah  pasrah.
Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya  Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna  dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk  memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama  memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat  penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Awangku Usop dan  anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka  cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan  mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas  semua keturunan mereka selepas itu.
Inilah cerita legenda ikan patin dan mengapa ramai masyarakat Melayu  Sarawak tidak memakan ikan patin. Tidak diketahui samada kebenaran  sumpahan ini ke atas semua keturunan Melayu Sarawak namun yang pasti ada  sesetengah masyarakat Melayu Sarawak sememangnya tidak memakan ikan  patin. Sesungguhnya setiap hal yang berlaku di dunia ini ada ceritanya  dan cerita legenda adalah satu cerita yang digembar gemburkan untuk  mencantikkan jalan ceritanya. Sejauhmana kebenarannya hanya Yang Maha  Kuasa yang lebih mengetahuinya.
pen patah blogsport 
Update Terbaru   sumber blogBlog viral
Update Terbaru   sumber blogBlog viral
Update Terbaru   sumber blogBlog viral
Update Terbaru   sumber blogBlog viral
 
Catat Ulasan