Peristiwa Ghazwah Bani Mustaliq pernah merekodkan satu pengalaman pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah S.A.W, di mana Saydatuna Aishah dituduh bermukah dengan Safwan bin Mu’attal, seorang Sahabat Nabi juga tentera Islam yang tabiatnya suka tidur selepas selesai berjuang di medan pertempuran. Di dalam sirah Ibnu Hisham, diriwayatkan Safwan bin Mu’attal memang suka tidur selepas perang sehinggalah beliau ditinggalkan keseorangan oleh kumpulan tentera-tentera Islam yang lain.
Itulah rutin yang kerap dilakukan oleh Safwan, seorang Sahabat Nabi setiap kali berakhirnya perang. Namun, setelah Safwan tersedar daripada lenanya beliau mendapati Aishah, isteri Baginda S.A.W tertinggal keseorangan daripada kumpulan yang sepatutnya beliau bersama Rasulullah S.A.W menuju pulang ke Madinah.
Peristiwa itu menyebabkan kota Madinah gempar. Segala rekayasa media dipaparkan oleh kaum munafiq semahu-mahunya. Fitnah keji dan tuduhan jahat terhadap keluarga Nabi S.A.W kedengaran merata ke pengetahuan masyarakat Muslim dan non-Muslim di Madinah, di mana Aisyah, isteri Nabi S.A.W dituduh berselingkuh dengan Safwan bin Mu’attal.
Sementara Abdullah bin Ubai dan kaum munafiq melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah S.A.W dengan mengambil kesempatan, mencipta dan menaburkan fitnah terhadap isteri Baginda sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut. Beberapa orang sahabat berkelahi dengan Safwan bin Mu’attal, antaranya ialah Hassan bin Thabit, tukang penyair Rasulullah.
Tuduhan itu dirumus berdasarkan tindakan Safwan yang mengiringi Saydatuna Aishah radhiAllahu anha sehingga tiba ke Madinah. Peristiwa itu dijaja sebagai fakta kukuh, tentang kecurangan Aishah terhadap Rasulullah S.A.W.
Disebut oleh Ibnu Hisham di dalam sirahnya, fitnah tersebut menyebabkan Rasulullah melontarkan persoalan kepada Aishah, “Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita begitu dan begini tentangmu. Jika kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya.”
Sedih Aishah mendengar teguran Baginda, suara Baginda bagaikan guruh yang mengegarkan tiang langit. Lantaran persoalan bernada keraguan itu, Saydatuna Aisyah mengalirkan air mata, dengan sebak menangis melihat tawarnya keyakinan Baginda kepadanya. Aishah kemudiannya melontarkan perkataan yang membuktikan kejituan imannya kepada Allah Taala, “Aku tidak dapati suatu contoh perkataan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusuf alaihissalam; …Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (maksud surah Yusuf ayat18).”
Allah telah mentaqdirkan satu ujian yang pahit diterima Baginda S.A.W, lebih-lebih lagi apabila wahyu tidak turun sebulan lamanya sejurus dari peristiwa itu. Semua itu agar kita generasi umat Islam hari ini mengambil iktibar sebagai umatnya yang beriman kepada Allah dan Rasul, sebagai umatnya yang menjulang tinggi makna kesetiaan dan persaudaraan.
Lalu, apa sebenarnya yang dilakukan Baginda Nabi S.A.W mengatasi beban ini selain menunggu petunjuk dan wahyu dari Allah? Lembaran sejarah mengajarkan kepada kita, bagaimana sikap Baginda Nabi sebagai qiyadah terunggul membanteras fenomena “media puaka” yang dikelolao Abdullah bin Ubai sampai ke akarnya.
Antara yang dilakukan Rasulullah S.A.W adalah menyibukkan para sahabat daripada membicarakan fitnah terhadap Saydatuna Aisyah. Ini kerana masyarakat yang tidak sibuk, menghabiskan masa mengatur dam dan melepak di kedai kopi, biasanya tiada urusan lain yang akan dilakukan oleh mereka selain membicarakan isu-isu panas dan fitnah.
Khabar angin, cakap-cakap mulut adalah senjata klasik yang menjadi makanan empuk orang-orang munafik sejak dahulu lagi untuk memecah belahkan umat Islam. Di dalam kitab sirah yang dikarang Ibnu Hisyam, ketika fitnah ini berleluasa radarnya, Rasulullah S.A.W bertindak keluar ke lokasi yang berbeza dari suasana di Madinah. Rasulullah S.A.W keluar bersama beberapa orang sahabat untuk beberapa hari dan berhenti di suatu tempat sehingga masing-masing mengantuk dan tertidur. Rasulullah S.A.W melakukan semua itu agar mereka dapat melupakan “gossip liar” kaum munafiq seputar kejadian sebelumnya.
Begitu juga apabila Rasulullah S.A.W mengutarakan pandangan dan mengemukakan pendapat tentang hal yang terjadi berikutan tuduhan terhadap isterinya, Aisyah, Baginda hanya berbicara kepada orang-orang yang rapat dengannya sahaja. Baginda tidak berbicara soal tuduhan terhadap Aisyah itu kepada semua orang. Kerana cinta Baginda S.A.W kepada Aisyah begitu mendalam, manakala tuduhan yang dihadapi oleh Aisyah amat pedih untuk dipendam.
Berbeza dengan sikap orang-orang munafik. Mereka menyebarkan desas-desus dan menikmati rasa kepedihan yang menimpa jiwa Rasulullah S.A.W.
Safwan bin Mu’attal radhiAllahu anhu disaksikan Rasulullah S.A.W sendiri sebagai seorang yang soleh dan Allah telah memberikan rezeki kepadanya kesyahidan di jalan-Nya sesudah fitnah liar ini ditamatkan dengan penurunan ayat ke 11-18 daripada surah an-Nur. Allah menjelaskan perihal sebenar dan telah memuji pendirian Abu Ayub al Ansari dan Ummu Ayyub berdasarkan asbaabun nuzul ayat tersebut kerana sikapnya tidak mempercayai tuduhan buruk yang dilemparkan kepada isteri Baginda S.A.W.
Ketika peristiwa berita fitnah mengenai kerendahan moral Aishah merebak dengan liarnya, Abu Ayyub al Ansori beserta isterinya Ummu Ayyub berkata, “Ya kami mendengar berita itu, tetapi kami tidak percaya dan ini adalah fitnah terhadap Aishah!”
Wahyu Allah yang turun ketika itu sangat menenangkan jiwa Baginda, ia laksana gerimis di saat kekeringan dan kemarau panjang. Firman Allah Taala :
“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata; Ini ialah tuduhan dusta yang nyata” – surah an Nur:12, al Quranul Karim
Inilah sikap Muslim yang menjadi panduan kepada kita apabila menilai sesuatu isu atau berita. Benarlah Allah Taala memuliakan Para Sahabat dan mensucikan Para Ahli Bait Baginda S.A.W. Sekalipun peristiwa ini sulit dan menyakitkan, namun sedarilah bahawa orang-orang yang diuji dengan peristiwa seumpama ini, pahalanya di sisi Allah tidak akan dizalimi sekecil manapun. Sabda Rasulullah S.A.W, “Tidaklah seorang hamba dizalimi lalu ia bersabar atas kezaliman itu maka Allah pasti menambah kemuliaan baginya.” – Riwayat at-Tirmizi, hadis ini sahih.
Mari kita renungi dalam-dalam jika fitnah seumpama ini berlaku di hadapan kita. Ketika itu di manakah kedudukan hati kita sekarang?
Adakah kita tergamak mengapi-apikan orang lain supaya turut mempercayai berita yang masih belum dipastikan keabsahannya?
Adakah kita mengambil posisi berdiam diri lantaran sikap tidak mahu ambil peduli?
Atau kita tidak percaya khabar tersebut malah mempertahankan peribadi mangsa sebagai orang yang dizalimi, menegaskannya sebagai Muslim yang baik bahkan wajar dipertahankan martabatnya.
Jika hari ini kita di zaman Baginda S.A.W, di manakah posisi iman kita? Adakah posisi kita bersama Para Sahabat radhiAllahu anhum, ataukah posisi kita di tempat “asfala safilin” di mana kaum munafiq yang mewarisi sikap Abdullah bin Ubai bin Salul ditempatkan? Na’uzubiLlahi min zaalik.
http://halimislam.com
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Update Terbaru sumber blogBlog viral
Catat Ulasan